Dalam kehidupan ini Allah berikan kita empat ujian yang mana ujian-ujian tersebut sebenarnya kita telah diberikan nikmat ketahanan terlebih dahulu untuk menanganinya. Tanpa kita sedari kita telah dikurniakan rahmat dari Allah dan bagi yang tidak mahu berfikir lebih mendalam serta positif akan terjerumus dalam kekhayalan duniawi dengan keadaan riak dan sombong melayari dunia sementara ini.
Ujian pertama seperti mana yang aku dengar dari ceramah Ustaz Kazim Elias beberapa hari lalu ialah:-
Ujian takut kepada perkara perkara yang tidak sepatutnya. Apakah kita harus melayani perasaan takut itu kerana kelak yang kerugian adalah diri kita sendiri! Kembali kepada sunnah Nabi Muhammaf S.A.W. yang mana disarankan bahawa umat Islam mesti berani. Berani dalam kontek apa sahaja di dalam dunia ini bagi mencapai saham akhirat yang hakiki. Contohnya; kita disarankan untuk tidak menakutkan anak-anak kita kepada perkara tahyul apatah lagi mengamalkan perkara tahyul kerana itulah yang menyumbang kepada pembentukan sahsiah percaya bomoh atau dukun. Memanglah kita harus mengambil kira rukun iman yang wajib iaitu; percaya kepada perkara ghaib. Tapi apa yang dimaksudkan disini ialah percaya Allah itu benar walaupun tak nampak pada mata kasar, percaya syaitan itu musuh benar walaupun tak nampak rupa bentuknya memasuki pembuluh darah kita, percaya Malaikat itu benar walaupun tidak nampak mereka mendoakan kita setiap kali kita bersujud kepada Allah.
Ujian kedua pula ialah ujian lapar. Kita ini sebenarnya punyai banyak makanan dan minuman yang mengenyangkan perut dan menyegarkan tekak. Lihat sahaja waktu waktu makan kita. Pagi, merata orang menjual nasi lemak dan boleh pula kita sentiasa membelinya! Tengahari, kita katakan kita berjimat membawa bekal ke pejabat supaya belanja sedikit sahaja tetapi selepas makan kita berjalan ke luar pejabat, nampak orang menjual buahan, boleh pula kita membelinya walaupun RM 1 sahaja. Itulah rezeki yang kita lupai dek kerana kita mengatakan kita ini selalu lapar tak cukup rezeki. Itulah ujian lapar yang Allah berikan kepada kita untuk diiktibarkan sebagai satu nikmat dan rezeki yang melimpah ruah. Ujian lapar juga adalah kepada orang yang telah ditarik balik nikmat kesihatannya. Cohtohnya orang yang tidak mahu sedar dan makan sesuka hati, lalu bila Allah tarik balik nikmat kesihatan dan berikan sakit diabetes, mulalah dia merasakan dia lapar tak dapat makan apa sahaja seperti dulu kerana apabila sudah sakit barulah hendak menjaga kesihatan.
Ujian ketiga pula ialah ujian harta dunia. Kita selalu kalut memikirkan kekayaan wang ringgit sehingga mengabaikan tanggungjawab ibadah dan hak yang wajib. Itulah ujian yang Allah beri kepada kita maka yang lalai dan leka akan tertinggal dari meraih pahala dari Allah SWT. Ada juga yang telah merasa dirinya cukup hebat mendapat harta dunia dan hidup senang. Itulah juga ujian kepada orang itu yang mana kalau tidak bangun dan sedar maka dia akan terjerumus dalam kemurkaan Allah. Sedangkan bagi orang yang telah mencapai kesenangnan hidup juga masih perlu menunaikan tanggungjawabny asebagai orang yang memberi manfaat kepada orang lain contohnya menunaikan zakat untuk menyucikan harta, hati dan intipati diri (ini wajib kepada Allah Taala), memiliki takaful sebagai perlindungan kepada diri dan keluarga agar tidak menyusahkan orang lain apabila kejadian musibah menimpa (ini wajib kepada diri sendiri dan zuriat), menunaikan haji dan umrah (ini wajib bagi semua maka hendaklah semua berusaha menjadi mampu untuk melakukannya) Bagi yang masih memanjat tangga kejayaan dunia, janganlah lupa untuk bersyukur denga ujian kesusahan kerana Allah sahaja yang tahu mengapa Dia memberikan ujian kesusahan atau kemiskinan kepada kita. Namun tiada pula nas-nas Al-Quran yang menyatakan kita dihalang untuk berusaha melawan kemiskinan itu kerana kemiskinan yang ditimpakan kepada kita bukanlah ujian yang Allah suruh kita redha sahaja, sebaliknya ujian yang memberi peluang kepada kita untuk kita tunjukkan kepada Allah bahawa kita berusaha merebut peluang mencapai apa yang Allah telah berikan dalam dunia ini untuk semua. Allah sangatlah suka kepada orang yang senantiasa berusaha.
Ujian keempat ialah ujian kehilangan yang ramai orang takkan dapat mengatasinya secepat kilat. Masing masing akan mempunyai sisa sisa tinggalan kekecewaan, kesedihan mahupun rasa terkilan dalam hati yang sukar dihapus sepantas kilat. Semuanya memerlukan masa. Renungkan bahawa Allah telah mengurniakan kita ujian ini adalah sebagai peringatan atau kifarah kepada dosa masa lalu. Ataupun sekadar takdir yang telah Allah tetapkan bagi kita kerana adanya sesuatu perkara atau seseorang itu kepada kita hanyalah kurniaan sementara sahaja yang Allah berikan. Yakinilah setiap apa yang terjadi dari Allah itu hanyalah yang terbaik dan disitulah terletaknya hikmah Allah yang bakal diberikan di masa akan datang yang mana bergantung kepada penerimaan kita, keikhlasan mendidik hati kita kerana Allah.
Sesungguhnya dalam keempat-empat ujian ini, tiadalah satu pun yang saya sendiri dapat mengatasinya dengan baik. Namun sebagai Muslim yang bercita-cita untuk menjadi orang yang beriman, hendaklah kita redha ketentuan Allah dan BERUSAHA mendapat penyelesaian kepada setiap ujian yang telah diberikan kerana itulah juga pengukur kepada kesungguhan kita mendapat keredhaan Allah.

No comments:
Post a Comment